Tuesday 20 March 2012

ISN tumpu sains sukan



SUBANG JAYA – Sedar bahawa atlet bertaraf dunia memerlukan sokongan bertaraf dunia, Institut Sukan Negara (ISN) tidak menoleh ke belakang sebaliknya bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada atlet negara.

Menurut Pengarah Pusat Satelit ISN, Saadon Shukor, kewujudan 11 Pusat Satelit ISN membuktikan bahawa ISN memandang serius tentang kepentingan sains sukan kepada masyarakat setempat terutama pada peringkat akar umbi.

“ISN mahu mendedahkan masyarakat tentang pentingnya perubatan, saintifik dan kecemerlangan teknologi dalam sukan di Malaysia.

“Seperti semua sedia maklum sukan mampu mengubah sesebuah masyarakat,” katanya pada Sidang Antarabangsa Sains Sukan dan Rekreasi (ICSSR) 2011 semalam.

Setakat ini 11 Pusat Satelit ISN telah dibina di Kuching, Pulau Pinang, Larkin, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Melaka, Kelantan, Pahang, Sandakan dan Miri.
“ISN sentiasa mementingkan tentang sukan elit berprestasi tinggi, pendidikan jurulatih, pembangunan atlet, penyertaan sukan beramai-ramai, budaya sukan dan industri sukan berkembang dengan pesatnya di dalam negara ini.

“Selain membuat persediaan untuk Sukan Olimpik 2012 di London, ISN juga sudah mula membuat perangkaan awal menjelang saingan Sukan Asia dan Komanwel 2014, jadi penubuhan Pusat Satelit adalah amat penting dan memudahkan atlet yang berada di seluruh Malaysia,” katanya.

Jelasnya, ISN sentiasa wujud dalam piramid sukan, di mana atlet berada di atas manakala dua di bawah yang sentiasa menjadi sokongan ialah jurulatih dan tidak terkecuali ISN.

“Seperti yang kita semua maklum, budaya adalah amat penting daripada sistem. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah cuba mengubah budaya di kalangan masyarakat setempat untuk menjadikan sukan sebahagian daripada hidup mereka.

“Kejayaan yang dicatatkan oleh pasukan bola sepak kebangsaan pada Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki tahun lalu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada perancangan yang dilakukan oleh ISN dengan menempatkan jurulatih kecergasan dari Slovakia,” katanya.

Tambahnya, ada tiga perkara penting yang akan dilakukan oleh ISN sebelum diberikan kepada jurulatih, penilaian kecergasan, taktik dan analisis perlawanan.

No comments:

Post a Comment