Thursday 17 May 2012

Radang Sendi?


Penyakit ini merupakan suatu penyakit kronik pada sendi-sendi dan juga melibatkan beberapa organ-organ lain. Bahayakah penyakit ini? Baiklah, sebanyak 1-3% daripada penduduk seluruh dunia mengalami penyakit ini. Kebarangkaliannya akan meningkat pada usia 30 sehingga 50 tahun. Wanita yang belum mengalami putus haid adalah lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding kaum lelaki.

Apa Penyebabnya?
Penyebab rheumatoid arthritis masih belum diketahui. Namun, diketahui bahawa rheumatoid arthritis adalah penyakit autoimun semulajadi sistem kekebalan tubuh tidak beroperasi dengan betul, sehingga sistem kekebalan tubuh menyerang rangkaian sendi yang sihat dan menyebabkan keradangan dan kerosakan sendi seterusnya. Genetik juga memainkan faktor penyumbang terhadap penyakit ini.

Apakah Saja Gejalanya?
Permulaan rheumatoid arthritis membawa keletihan, rasa sakit, kekakuan, sakit, dan rasa sakit dan bengkak pada sendi bilateral terpencil. Rheumatoid arthritis biasanya bermula di tangan, atau kaki dan juga akan mempengaruhi pergelangan tangan, beberapa sendi di tangan. Rheumatoid arthritis adalah juga ditemui di siku, bahu, leher, lutut, pinggul dan pergelangan kaki. Seiring waktu, radang sendi boleh rosak dan menyebabkan ciri-ciri lain seperti benjolan atau nodul di bawah kulit.

Siapa Yang Berisiko Terkena?
Rheumatoid arthritis mempengaruhi lebih daripada 2 juta orang Amerika dengan lebih daripada 1 juta wanita berbanding dengan hanya lebih daripada setengah juta orang, Walaupun awal ini umumnya usia pertengahan, lebih umum ditemui pada orang tua. Rheumatoid arthritis juga telah ditemui pada kanak-kanak-kanak dan dewasa muda.

Diagnosis & Perubatan
Dalam banyak kes, diagnosis awal dari rheumatoid arthritis dapat lebih mengawal penyakit ini. Rheumatoid arthritis adalah didiagnosis dengan pola gejala, sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, x-ray dan ujian darah untuk Rheumatoid Factor, yang merupakan antibodi yang ditemui dalam darah 80% orang dewasa dengan rheumatoid arthritis.
Pada waktu ini, ada beberapa ubat yang berkesan untuk rheumatoid arthritis. Rawatan awal adalah penting untuk menghilangkan rasa sakit, mengurangkan keradangan, melambatkan kerosakan sendi dan mudah-mudahan menangkap kerosakan sendi. Rawatan awal juga membantu pesakit rheumatoid arthritis menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

KEPENTINGAN REGANGAN


Pakar kenderaan sering menasihat pemandu supaya memanaskan enjin terlebih dulu sebelum memulakan perjalanan, terutama pada waktu pagi.


Apakah tujuan membiarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit sebelum digerakkan? Ketika proses pemanasan, minyak pelincir akan dialirkan ke semua bahagian enjin. Jika enjin terus dibebani sebelum dipanaskan, ini bermakna enjin terpaksa bekerja ketika minyak belum sampai ke setiap bahagian yang perlu dilinciri.
Akibatnya, bahagian yang bergeseran akan mengalami kehausan akibat geselan berat hingga enjin lebih cepat rosak.
Apakah kaitan memanaskan enjin dengan senaman? Tubuh manusia sama seperti enjin. Jika enjin menerima kesan buruk akibat kegagalan pemandu memanaskan enjin, tubuh manusia juga berkeadaan serupa.
Sesetengah orang bersenam untuk lebih sihat, tetapi selepas sekali atau dua kali melakukan senaman terus patah semangat untuk bersenam kerana bukan kesihatan bertambah baik, tetapi mengadu bahagian tertentu tubuh seperti kaki terseliuh dan sakit.


Masalah yang dialami itu menunjukkan tubuh manusia perlu melalui proses sama seperti enjin kenderaan, memanaskan badan sebelum bersenam.
Memanaskan badan penting supaya otot dapat bertugas dengan berkesan, sekali gus mengelakkan kecederaan.
Sehubungan itu, tubuh memerlukan persediaan rapi dan tepat untuk melakukan senaman yang memerlukan tenaga dan kekuatan supaya senaman memberi pulangan positif dan pada masa sama, meminimumkan risiko kecederaan.
Bersenam tanpa memanaskan badan bererti sengaja mendedahkan diri kepada pelbagai kesakitan dan kecederaan.
Sesetengah orang mengetahui keperluan memanaskan badan, tetapi mempunyai anggapan salah bahawa sesiapa yang mempunyai keadaan fizikal yang baik tidak perlu berbuat demikian. Hakikatnya, setiap orang berisiko mendapat kecederaan apabila memaksa tubuh melakukan senaman.
Berhenti dengan tiba-tiba selepas bersungguh-sungguh melakukan senaman tanpa melegakan otot kembali seperti dalam keadaan rehat, juga boleh menyebabkan kesakitan seperti yang dialami orang yang tidak cergas, tetapi memaksa diri bersenam secara intensif.
Ketegangan otot yang dialami ketika bersenam kemungkinan besar berpunca akibat bersenam tanpa memanaskan badan sepenuhnya.

Kebaikan memanaskan badan
Faktor utama memanaskan badan ialah untuk melindungi otot, tendon dan ligamen terkoyak ketika pergerakan regangan yang kasar. Ini penting terutama bagi aktiviti seperti membaling dan menendang bola yang memerlukan pelbagai gerakan.
Latihan memanaskan badan juga meningkatkan pengaliran darah melalui tisu lembut dengan melebarkan saluran darah dan hasilnya, suhu meningkat dan anggota badan menjadi lebih lembut.
Bagaimanapun, pastikan senaman dilakukan segera selepas aktiviti memanaskan badan. Jika melewati tempoh 10 minit, badan akan kembali sejuk dan usaha memanaskan badan akan menjadi sia-sia.
Selain mencegah kecederaan, tubuh berasa lebih bersedia untuk melakukan senaman. Dari segi psikologi, seseorang itu akan lebih bersedia untuk menghadapi aktiviti sukan, terutama pertandingan peringkat tinggi.



Kebaikan menyejukkan badan
Sama seperti kesan buruk yang dialami apabila tidak memanaskan badan, berhenti secara tiba-tiba selepas melakukan senaman juga merbahaya.
Ambil sedikit masa untuk menyejukkan otot secara teratur untuk mengelakkan kekejangan dan mengurangkan kesakitan otot.
Menyejukkan badan menyebabkan rerambut otot menutup dan menghalang darah `berkumpul’ yang boleh membawa kepada penurunan tekanan darah secara tiba-tiba.
Selepas melakukan senaman dengan lasak, anda perlu secara beransur-ansur mengurangkan tahap keseriusan senaman dengan berjoging atau berjalan secara perlahan. Kemudian lakukan semula regangan dan melonggarkan tubuh seperti sebelum bersenam.
Apabila semua ini dilakukan, anda dengan yakin boleh berhenti bersenam kerana melakukan usaha terbaik untuk melindungi tubuh anda.

penjagaan kesihatan (sayangi jantung anda)



Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalarn tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dan awal diberikan kepada jantung.
Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.
Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang. Bagaimanakah caranya?
Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.

Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.
Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan. Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.

Kawalan berat badan
Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.
Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.
Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.

Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.
Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.
Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.
Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam

Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung.
Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.

Perubahan gaya hidup
Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.
Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah. Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.


Doktor menyuruh kita mengamalkan makanan seimbang dan bersenam untuk kekalkan kesihatan atau mengembalikan kesihatan kita yang sudah terjejas. Kita perlu mengambil makanan seimbang agar kita mendapat zat-zat dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita untuk kekalkan kesihatan atau memulih tahap kesihatan yang sudah menurun atau terjejas.
Dapatkan kita mengamalkan pemakanan atau diet seimbang seperti yang disarankan?
Saya cuba analisa pola pemakanan saya semasa hari berkerja untuk tengok sama ada saya dapat memenuhi keperluan tersebut:
Sarapan: Nasi/bihun goreng + telor goreng/ayam goreng atau nasi lemak dengan telor goreng/kerang/paru-paru goreng/sotong/sambal ikan bilis.
Makan tengahari: Nasi dengan satu jenis sayur + 1 ekor ikan/1 ketul ayam/1 senduk daging. Buah? Selalunya tidak dijual dikantin, kalau nasib dapatlah tembikai, betik, nenas atau tembikai susu. Kalau ada, ambillah sepotong.
Makan malam di rumah, tiada banyak bezanya. Nasi bersama satu/dua jenis lauk dan satu jenis sayur. Kadang-kadang tak da sayur.
Nampaknya pola pemakanan harian saya tidak memenuhi keperluan pemakanan seimbang. Saudara/ri camner?
Menurut garis panduan pemakanan Kementerian Kesihatan (rujuk grafik piramid makanan di atas), kita perlu makan 4-8 hidangan bijirin seperti nasi, gandum, jagung. Boleh juga ambil ubi. Sekurang-kurangnya setengah dari bijirin yang diambil mestilah bijirin penuh; kalau nasi – beras coklat, kalau roti – dari gandum penuh. Nasihat KKM, bila masak nasi, campurkan beras putih dengan beras coklat 50-50. Kalau tak nak, 50% dari karbohidrat kita mestilah dari roti/makanan yang diperbuat dari gandum penuh.
Kita juga kena ambil sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran atau 2 hidangan buah-buahan. Makanan ini dikaitkan dengan pengurangan risiko mendapat diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan kanser. Garis panduan tersebut juga menasihatkan kita supaya mengambil daging, makanan laut dan ikan secara sederhana. kita dinasihatkan supaya lebih memakan ikan. Hasil tenusu – 1 hingga 3 hidangan sehari.
Garam, gula, minyak dan lemak? Semua orang tahu, kena kurangkan. Tapi kalau dah makan kat luar (kat warung atau restoranlah), banyak mana mereka taruh manalah kita tau. Yang pasti, bukan sedikitlah.
Dapatkah kita penuhi keperluan pemakanan seimbang? Kalau hari-hari makan di kantin tempat kerja, atau makan kat luar, nampaknya tak dapatlah. Kenalah bawa bekal dari rumah. Kalau tak boleh juga penuhi keperluan makanan seimbang, dan masih ingin kekalkan kesihatan yang unggul, kenalah ambil pemakanan tambahan.
Sumber grafik: Kementerian Kesihatan Malaysia
www.nutrition.moh.gov.my


Wednesday 28 March 2012

TEORI KEBANGKITAN DALAM SUKAN


PENGENALAN
Psikologi sukan boleh ditakrifkan sebagai satu bidang kajian saintifik yang melihat kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti terhadap perlakuan fizikal, efektif serta kognitif mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti tersebut. Menurut pakar psikologi sukan, (Wann, 1997), bidang ini membabitkan bidang sukan dan pergerakan. Antaranya Cox (1998) menjelaskan bahawa psikologi sukan merupakan satu bidang sains atau prinsip-prinsip psikologi diaplikasi dalam bidang sukan. Bagi Weinberg dan Gould (1999), m.s. 3 Modul Pengenalan kepada psikologi sukan pula merumuskan bahawa psikologi sukan merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka dalam konteks sukan dan pergerakan. Takrifan ini membuka skop yang lebih luas dalam bidang psikologi sukan dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang berlaku kepada atlit, jurulatih, pegawai serta penonton digelanggang atau padang permainan serta melibatkan mereka yang menyaksikan atau mengikuti perkembangan aktiviti tersebut dari jauh.

Kajian dalam psikologi sukan juga membolehkan kita :
  • Menyatakan sesuatu tingkah laku
  • Menerangkan tingkah laku tersebut
  • Membuat andaian tentang tingkah laku tersebut.

Keadaan seseorang atlit diterangkan melalui pendekatan psikologi bagi mendapatkan kaedah yang sesuai untuk menangani masalah atlit. Ringkasnya, seseorang ahli psikologi sukan bukan sahaja berminat untuk mengetahui apa yang berlaku digelanggang serta kesan langsung terhadap atlit serta pegawai yang terbabit malahan kepada mereka terlibat secara tidak langsung di luar gelanggang permainan.

KEBIMBANGAN (ANXIETY)
Menurut Wann (1997), kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu terhadap apa yang terdapat di persekitarannya. Jika tafsiran tesebut menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kesan negatif, maka ia menghasilkan kebimbangan.
Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlit maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika. Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu (Shaharudin 2001).

JENIS-JENIS KEBIMBANGAN
1.         Kebimbangan Seketika (State Anxiety)
Kebimbangan seketika adalah tahap kebimbangan semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan khuatir/bimbang, takut, tekanan dan kebangkitan fisiologikal.
2.         Kebimbangan Tret (Trait Anxiety)
Kebimbangan tret merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan mereka.
3.         Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety)
Kebimbangan kognitif merupakan proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa.Sebagai contoh ketakutan terhadap penilaian sosial, takut terhadap kegagalan dan kehilangan harga diri (self esteem).
4.         Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety)
Kebimbangan somatik pula merujuk kepada aspek fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh peningkatan kadar degupan jantung, pernafasan dan ketegangan otot-otot. Ini akan mengakibatkan individu hilang, rasa marah-marah, kurang yakin serta mendatangkan kesan kepada prestasi individu.

PUNCA-PUNCA KEBIMBANGAN
Selain mempersembahkan cabaran dan rangsangan, pada masa yang sama sukan juga membangkitkan ketidaktentuan. Pada saat seorang pemanah melepaskan anak panah daripada busurnya, seorang pemain bola sepak sedang menyepak bola pada kedudukan penalty dan seorang pemain badminton ingin melakukan pukulan deras (smash) pada kedudukan mata akhir, hasil daripada perlakuan tersebut belum diketahui. Tekanan dalam sukan adalah menjadi perkaitan yang tidak dielakkan berlakunya sifat ketidakpastian.
Tekan dan ketidakpastian boleh memotivasikan sebahagian atlit kita, sebaliknya akan meningkatkan kebimbangan pada yang lain. Terdapat beberapa beberapa faktor yang jelas meningkatkan tahap kebimbangan. Sebagai contoh, semakin penting sesuatu pertandingan, semakin tinggi tekan dan seseorang akan mudah menjadi bimbang.
Seorang individu yang berdarah gemuruh secara semula jadi mempunyai ciri-ciri mudah tertekan serta mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi. Justeru itu, segala tindak balas atau respons yang diambil terhadap situasi di persekitaran akan meningkatkan lagi kadar kebimbangan kerana tindakan mereka kini telah dipengaruhi oleh kebimbangan berasaskan situasi.
Menurut Endler (1978, 1983), terdapat lima faktor mengakibatkan tahap kebimbangan meningkat dalam suatu situasi yang teruja.
1.      Seseorang atlit akan menjadi takut menerima kekalahan daripada lawan yang lemah yang boleh mengugat ego atlit tersebut.
2.      Bimbang tentang penilaian yang negatif diterima daripada sosial atau ribuan penonton yang mengancam harga diri seseorang.
3.      Bimbang akan ancaman fizikal daripada pihak lawan. Contoh permain bola lisut, dimana seseorang pemukul akan berasa bimbang terkena balingan yang deras daripada pitcher yang boleh mencederakannya.
4.      Seseorang atlit berada dalam situasi kesamaran atau serba salah untuk memulakan perlawanan, persediaan atlit sama ada hendak mula atau tidak kekadang boleh menimbulkan tekanan dan kebimbangan.
5.      Seseorang atlit terganggu konsentrasi apabila diarah untuk menukar cara yang telah diamalkan dalam latihan kepada cara yang tidak pernah dilakukan dalam latihan semasa pertandingan.

MENGUKUR KEBIMBANGAN
Menurut Richard H. Cox (1998, 2007.6th ed) Anshell (1997) dan Wann (1997), cara yang paling popular untuk mengukur kebimbangan dengan menggunakan borang soal selidik. Cara ini mudah ditadbirkan kerana responden cuma perlu menjawab soalan yang berkaitan dalam inventori yang disediakan. Cara ini memungkinkan penyelidik mendapatkan bilangan responden yang ramai dalam kajiannya serta amat praktikal dari sudut psikologi sukan gunaan.
Di samping itu terdapat juga cara lain yang lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat tentang tahap kebimbangan seseorang individu. Antara cara yang boleh digunakan adalah dengan pemerhatian terhadap perubahan tingkah laku serta perubahan fisiologikal individu. Pemerhatian yang teliti terhadap perubahan tingkah laku seperti perubahan corak pernafasan, tangan berpeluh, sering kali membasahkan bibir yang kering serta tanda-tanda keresahan yang lain boleh dikaitkan dengan perlakuan yang berkaitan dengan peningkatan tahap kebimbangan. Kaedah ini telah digunakan oleh Lowe (1973) dalam kajiannya ke atas pemukul dalam sukan besbol peringkat rendah.
Perubahan dari segi fisiologikal juga boleh diukur serta dikaitkan sebagai tanda-tanda kebimbangan. Peningkatan kadar nadi, perubahan tekanan darah serta tekanan pada otot merupakan tanda-tanda fisiologikal yang dikaitkan dengan kebimbangan. Kemampuan untuk mengukur kebimbangan dari sudut fisiologikal buat masa ini agak terhad kerana kesukaran menggunakan alatan untuk tujuan ini. Bagaimanapun dengan perkembangan pesat dalam dunia sains, penggunaan alat telemetri secara lebih meluas dalam masa yang terdekat ini akan memungkinkan kita menggunakan kaedah ini untuk mengukur kebimbangan.
Landers (1980) mengutarakan pandangan agar pengukuran dari sudut psikologikal dan fisiologikal digunakan untuk mengukur kebimbangan. Bagaimanapun menurut Karteroliotis dan Gill (1987) perkaitan antara aspek psikologikal dan fisiologikal dalam mengukur kebimbangan seketika adalah rendah. Justeru itu, ia bukanlah satu cara yang sesuai untuk mengukur kebimbangan seketika. Kemungkinan besar, pengu-kuran serentak aspek psikologikal dan fisiologikal untuk mengukur kebimbangan seketika akan memberikan maklumat yang bercanggah.
Gagasan Endler (1978) tentang lima faktor atau dimensi yang berkait rapat dengan kebimbangan menjelaskan tentang sifat multidimensi kebimbangan itu sendiri. Justeru itu, kebimbangan perlu dilihat dari dimensi yang pelbagai dan bukannya secara unidimensi. Kajian yang telah dilakukan oleh Fisher dan Zwart (1982) serta Gould, Horn dan Spreeman (1983) menyokong sifat multidimensi kebimbangan.

Mengukur Sifat Multidimensi Kebimbangan
Penerimaan konsep multidimensi kebimbangan telah melahirkan beberapa inventori (soal selidik) yang cuba untuk melihat dan mengukur kebimbangan dari sudut ini. Antara yang terkenal adalah Competitive State Anxiety Inventory-2 (CSAI-2) yang dihasilkan oleh Martens, Vealey dan Burton (1990). CSAI-2 mengukur kebimbangan kognitif seketika (cognitive state anxiety) dan kebimbangan somatik seketika (somatic state anxiety).
Dalam konteks sukan, kebimbangan sebenarnya wujud sebelum sesuatu pertandingan itu bermula. la dikenali sebagai kebimbangan pra pertandingan (Cox, 1998). CSAI-2 membantu kita menilai tahap ke-bimbangan atlit pada tahap prapertandingan ini. Hasilnya, kini kita memahami bahawa terdapat perubahan dari segi tahap kebimbangan para pemain sebelum serta beberapa ketika semasa sesuatu pertandingan bermula.
Berdasarkan kajian, kebimbangan kognitif prapertandingan lazimnya bermula tinggi dan berterusan tinggi sehingga beberapa minit sebelum pertandingan bermula. Kebimbangan somatik pula bermula rendah sehingga kira-kira 24 jam sebelum sesuatu pertandingan bermula (lihat Rajah 1). Pada tahap ini, kebimbangan somatik akan terus meningkat sehingga hampir pada waktu pertandingan. Bagaimanapun, selepas beberapa minit perlawanan berlangsung, kebimbangan somatik akan menurun manakala kebimbangan kognitif akan sentiasa turun naik, bergantung kepada kedudukan semasa sepanjang tempoh permainan.

Perbezaan Kesan Kebimbangan Somatik dan Kebimbangan Kognitif ke atas Prestasi
Bagi memudahkan kefahaman tentang perkaitan di antara kebimbangan seketika kompetitif dan kaitannya dengan prestasi, kita perlu melihat serta mengukur dimensi kebimbangan seketika individu. Contohnya, perkaitan di antara kebimbangan kognitif seketika dan prestasi sukan adalah dalam bentuk linear (Burton, 1988; Gould, Petlichkoff, Simons dan Vevera, 1987), manakala perkaitan di antara kebimbangan somatik seketika dan prestasi pula dalam bentuk U-Terbalik (Cox, 1998).
             Semakin meningkat kebimbangan kognitif seketika maka semakin menurun prestasi atlit terbabit. Sebaliknya semakin meningkat tahap kebimbangan somatik seketika, semakin meningkat prestasi individu sehingga ke satu tahap yang optimum. Peningkatan tahap kebimbangan seketika melebihi tahap optimum ini akan menyebabkan penurunan prestasi atlit terbabit (Cox, 1998). Penggunaan CSAI-2 membantu kita memahami perkaitan di antara multi- dimensi kebimbangan dan prestasi. Kesannya, kita memahami bahawa kebimbangan seketika kognitif sebenarnya mendatangkan kesan yang negatif terhadap prestasi seseorang atlit.

TEORI KEBIMBANGAN
Ciri-ciri perbezaan antara kebangkitan dan kebimbangan telah dijelaskan dengan sebegitu rupa untuk menerangkan tentang perbezaan antara kedua-duanya, serta untuk mengelakkan salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan dengan kebangkitan dan kebimbangan. Bagaimanapun, untuk menjelaskan tentang teori yang berkaitan dengan kebimbangan, kedua-duanya perlu dilihat dalam konteks yang sama kerana kebangkitan sering dilihat sebagai hampir sama dengan kebimbangan seketika (Cox, 1998). Dalam bahagian ini, akan diutamakan teori-teori yang menjelaskan tentang perkaitan antara kebangkitan dan kebimbangan dengan prestasi atlit.

1.         Teori Dorongan
Teori Dorongan telah diperkenalkan oleh Hull (1943, 1951) dan Spence (1956). Asalnya, teori ini melihatperkaitan di antara stimulus dan respons dari aspek motivasi dan pembelajaran. la didasarkan kepada formula berikut:
Bevel: Prestasi = Kebangkitan x Tahap Kemahiran



Teori Dorongan merupakan teori yang menjelaskan tentang persaingan di antara respons yang terdapat dalam sesuatu proses pembelajaran. Dorongan atau keinginan yang kuat yang dikaitkan dengan kebangkitan akan menghasilkan respons yang dominan. Dalam konteks ini, perkaitan di antara prestasi dan kebimbangan (kebangkitan) dilihat dalam bentuk linear.

Teori Dorongan beroperasi berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
(a)          Peningkatan kebangkitan (dorongan) akan menghasilkan respons yang dominan.
(b)         Respons atau tindak balas yang dikaitkan dengan keinginan yang kuat merupakan respons yang paling dominan.
(c)          Pada tahap awal pembelajaran atau untuk kemahiran yang kompleks, respons yang dominan lazimnya kurang tepat atau salah.
(d)         Di tahap akhir pembelajaran atau untuk kemahiran yang mudah, respons yang dominan lazimnya tepat atau betul.

Untuk memahami teori ini, kita boleh mengaplikasikan prinsip teori berkenaan dalam kehidupan kita. Pertamanya, peningkatan tahap kebangkitan selalunya membantu atlit yang berkemahiran atau pakar tetapi mengurangkan keberkesanan atlit atau pemain muda (kurang berkemahiran). Justeru itu, jurulatih kepada pasukan yang barn atau muda perlu mengurangkan tekanan (kebangkitan) serta tahap kebimbangan agar atlit mereka dapat beraksi dengan baik. Tahap kebangkitan yang rendah lazimnya meningkatkan peluang kejayaan atlit atau pemain baru (muda) ini serta meningkatkan keyakinan diri mereka.
Bagi atlit yang berpengalaman pula, peningkatan tahap kebangkitan diperlukan untuk membantu mereka melakarkan kejayaan dalam setiap aktiviti mereka. Kekurangan tahap kebangkitan dan tekanan akan menyebabkan mereka mengambil mudah tugasan yang perlu dilaksanakan. Kesannya, prestasi mereka menjadi kurang baik.
Perkara yang sama juga boleh dikaitkan dengan proses melakukan kemahiran yang mudah dan kompleks. Contohnya, kemahiran mudah seperti mengangkat berat atau melakukan tekan tubi memerlukan tahap kebangkitan yang tinggi untuk memastikan atlit melaksanakannya dengan berkesan. Sebaliknya, kemahiran yang kompleks serta yang memerlukan ketepatan seperti menembak, memanah atau ketika melakukan putting dalam permainan golf, atlit memerlukan tahap kebangkitan yang rendah untuk mendapatkan hasil yang diingini.

Teori ini menarik perhatian ramai pada tahap awal ketika ia mula diperkenalkan, tetapi beransur menjadi kurang popular serta dikritik oleh ramai pengkaji. Andaian teori ini yang menjelaskan bahawa prestasi dan kebimbangan berinteraksi dalam satu garisan yang lurus telah ditolak serta dipertikaikan kesahihannya. Ramai pengkaji berpendapat prestasi manusia akan meningkat sejajar dengan peningkatan tahap kebimbangan sehingga ke satu tahap. Apabila melebihi tahap ini, peningkatan kebimbangan (kebangkitan) yang berterusan akan menyebabkan prestasi atlit berkenaan jatuh sama seperti gagasan Teori U-Terbalik. Ini telah mencetuskan beberapa pendekatan atau teori barn yang cuba melihat perkaitan di antara prestasi dan tahap kebimbangan (kebangkitan).

2.         Teori U-Terbalik
Teori ini menjelaskan bahawa perkaitan di antara kebangkitan dan prestasi boleh dilihat dalam bentuk kurvilinear atau U-Terbalik. Walaupun ia sering dianggap sebagai satu teori atau hipotesis, beberapa orang penyelidik seperti Duffy (1957) dan Malmo (1959) menganggap ia sebagai satu fakta yang menjelaskan tentang perkaitan antara kebangkitan dan prestasi.
Teori ini diperkenalkan oleh Yerkes dan Dodson (1908) yang menggunakan tikus untuk melihat perkaitan di antara kebangkitan dan tahap kesukaran tugasan serta kesannya ke atas prestasi. Dalam kajian ini, prestasi merujuk kepada bilangan percubaan yang diperlukan oleh tikus berkenaan untuk memilih petak yang lebih cerah dari dua petak yang disediakan. Elemen kebangkitan terdiri dari kejutan elektrik pada tahap intensiti yang rendah, sederhana tinggi dan tinggi manakala tahap kesukaran diasaskan kepada perbezaan kecerahan petak yang boleh dimanipulasikan kepada rendah, sederhana dan tinggi.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa bilangan praktis yang diperlukan untuk membezakan petak berkenaan meningkat apabila tahap kecerahan petak berkenaan semakin rendah (hampir sama). Dapatan ini menghasilkan Hukum Yerkes dan Dodson yang menjelaskan bahawa perlakuan yang mudah dipelajari, boleh dibentuk di bawah tekanan yang tinggi, manakala perlakuan yang sukar mungkin boleh dibentuk di bawah tekanan yang rendah (Cox, 1998).
Berdasarkan Hukum Yerkes dan Dodson tahap kebangkitan yang tinggi diperlukan untuk mendapatkan prestasi yang baik apabila melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan otot besar (gross motor skill) atau menggunakan tenaga yang tinggi, contohnya acara angkat berat. Bagi sukan yang memerlukan ketepatan atau kemahiran halus seperti menembak, memanah atau putting bola golf, tahap kebangkitan yang rendah diperlukan untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Setiap acara sukan mempunyai tahap kebangkitan optimumnya yang tersendiri untuk menghasilkan pencapaian yang terbaik. Bagaimanapun, semuanya tertakluk kepada prinsip U-Terbalik, iaitu prestasi adalah rendah apabila kebangkitan berada pada tahap yang terlalu rendah atau terlalu tinggi, manakala prestani terbaik hanya boleh dicapai apabila kebangkitan berada pada tahap sederhana atau optimum.
Satu lagi elemen yang perlu diberikan perhatian dalam usaha untuk memahami perkaitan antara kebangkitan dan prestasi adalah tahap kemahiran atau skala individu. Sebagai contoh, seorang novis (individu yang barn menceburi serta mempelajari satu sukan baru) sedang mempelajari satu kemahiran atau pergerakan barn sukan pilihannya. Menurut Hukum Yerkes dan Dodson, tidak kira sama ada kemahiran yang dipelajarinya itu merupakan kemahiran yang mudah seperti memukul bola golf atau yang sukar seperti kemahiran menggelecek dalam hoki tahap kebangkitan yang optimum bagi individu novis sepatutnya lebih rendah dari pemain yang sudah mahir atau pakar dalam sukan berkenaan untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Konsep inilah yang menjelaskan bagaimana pemain yang berpengalaman atau pakar dalam sesuatu acara beraksi dengan baik dalam situasi yang kompetitif jika dibandingkan dengan pemain novis (Oxendine, 1970).
Banyak kajian yang dilakukan untuk menilai perkaitan di antara kebangkitan dan prestasi menyokong Teori U-Terbalik ini. Klavora (1978), Sonstroem dan Bernardo (1982) dalam kajian mereka terhadap pemain bola keranjang mendapati prestasi pemain bola keranjang meningkat apabila tahap kebangkitan berada pada tahap yang optimum, sederhana dan merosot apabila tahap kebangkitan menjadi terlalu rendah atau meningkat terlalu tinggi. Gould, Petlichkoff, Simon dan Vevera (1987) dan Burton (1988) juga mendapati bahawa prestasi terbaik dalam acara menembak pistol dan renang berkait rapat dengan kebimbangan somatik. Ini selari dengan gagasan Teori U-Terbalik seperti yang dijelaskan di atas.
Dari sudut pergerakan motor, Beuter dan Duda (1985) mendapati peningkatan tahap kebangkitan menyebabkan pergerakan kanak-kanak merosot atau menjadi tidak licin jika dibandingkan ketika tahap kebangkitan mereka pada tahap yang optimum atau sederhana. Kajian dalam bidang yang lain seperti menilai pendengaran (Stennet, 1957), masa reaksi (Lansing, Schwartz dan Lindsley, 1956) dan kestabilan tangan (Martens dan Landers, 1970) turut menyokong gagasan Teori U-Terbalik ini.
Gagasan Teori U-Terbalik juga berkait rapat dengan Teori Penggunaan Kin Easterbrook seperti yang dijelaskan dalam Bab 3. Menurut Teori Penggunaan Kin Easterbrook, kemampuan menilai kin yang terdapat di persekitaran berkait rapat dengan tahap kebangkitan individu. Masalah gangguan atau hilang tumpuan serta pengurangan prestasi akan dapat diatasi sekiranya tahap kebangkitan berada pada tahap yang optimum. Bagaimanapun sekiranya tahap kebangkitan menjadi terlalu rendah, kesemua kin yang terdapat di persekitaran sama ada yang relevan atau yang tidak relevan akan diproses oleh individu terbabit. Kesannya prestasi tidak meningkat. Prestasi juga akan merosot sekiranya tahap kebangkitan semakin meningkat. Ini akan menyebabkan kemampuan menilai kin secara objektif dan teratur tidak berlaku dan kesannya prestasi merosot secara mendadak. Justeru itu, tahap kebangkitan perlu diawasi bagi mendapatkan prestasi yang optimum.

3.         Teori Zon Berfungsi yang Optimum Hanin (ZBO)
Teori ini hampir sama pendekatannya dengan Teori U-Terbalik. Bagaimanapun, perbezaan yang ketara bertumpu kepada premis Teori U-Terbalik yang menyatakan bahawa tahap kebimbangan yang sederhana berkait rapat dengan prestasi terbaik atlit. Teori Zon Berfungsi yang Optimum (ZBO) diperkenalkan oleh psikologis sukan Rusia, Yuri Hanin mengandaikan bahawa tahap optimum kebimbangan berasaskan situasi bagi seseorang atlit adalah berbeza dengan atlit yang lain. Menurut Hanin (1989), tahap optimum kebimbangan berasaskan situasi seseorang atlit ada yang bermula pada tahap yang paling rendah sehinggalah yang paling tinggi.
Hanin (1989) juga menjelaskan bahawa setiap atlit mempunyai ZBOnya yang tersendiri. ZBO atlit yang optimum akan menghasilkan prestasi yang terbaik manakala prestasi yang buruk lazimnya berlaku apabila tahap kebimbangan berasaskan situasi berada di bawah atau melepasi tahap ZBO. Justeru itu, perbezaan utama di antara ZBO dan Teori U-Terbalik adalah titik optimum yang menghasilkan prestasi terbaik atlit. Menurut Hanin (1989), titik berkenaan mungkin berada pada kontinum kebangkitan dan mungkin juga tidak. la wujud dalam satu zon dan bukannya satu titik yang pasti seperti yang diutarakan oleh Teori U-Terbalik. Beberapa kajian terkini menyokong gagasan ZBO (Hanin, 1989; Hanin dan Syrja, 1995).

3.         Teori Pembalikan
Teori ini menjelaskan bahawa untuk memahami perkaitan di antara prestasi dan kebimbangan, interpretasi individu atau atlit yang terbabit perlu diambil kira untuk mendapat gambaran mereka tentang situasi tersebut. Tahap kebangkitan yang tinggi atau rendah boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif mahupun negatif bergantung kepada situasi yang dihadapi. Dalam keadaan "mengelakkan kebimbangan" atlit biasanya ingin berada pada tahap kebangkitan yang rendah (persediaan pra-pertandingan) sementara dalam keadaan "mencari tahap kebangkitan" atlit lazimnya mencari keseronokan atau sesuatu yang merangsangkan. Dengan kata lain, atlit boleh membalikkan interpretasi mereka terhadap kebangkitan (menjelaskan nama teori ini). Tahap kebangkitan yang tinggi atau rendah boleh ditafsirkan sebagai positif pada satu ketika dan negatif pada ketika yang lain. Prestasi yang baik berlaku apabila tidak terdapat perbezaan yang ketara di antara tahap kebangkitan yang diingini oleh atlit dan tahap kebangkitan yang sebenarnya.

Model Bencana Fazey dan Hardy
Gagasan yang diutarakan oleh Fazey dan Hardy (1988) mencabar gagasan Teori U-Terbalik yang mengandaikan bahawa:
(i)                 Peningkatan tahap kebangkitan yang sedikit akan meningkatkan atau menurunkan sedikit prestasi atlit.
(ii)               Tahap kebangkitan yang sederhana menghasilkan prestasi yang optimum (Cox, 1998).

Teori atau Model Bencana mengandaikan bahawa peningkatan tahap kebangkitan yang sedikit sebenarnya memberikan kesan yang cukup besar kepada atlit yang sedang beraksi. Tekanan pertandingan serta peningkatan tahap kebangkitan yang kecil akan menyebabkan penurunan prestasi yang mendadak. Penurunan yang mendadak ini boleh disamakan sebagai "bencana" kepada atlit tersebut. Selepas mengalami penurunan prestasi secara mendadak sebarang perubahan kecil dari segi kebangkitan tidak mampu mengembalikan semula atlit ke tahap prabencana atau tahap sebelum penurunan prestasi yang mendadak berlaku (Fazey dan Hardy; 1988).
Keistimewaan Model Bencana ini kerana sifatnya yang tiga dimensi (lihat Rajah 4.3). Kebangkitan fisiologikal diwakili oleh garis x, kebimbangan kognitif oleh garis y dan prestasi oleh garis z. Bagi setiap titik pertemuan (koordinat) garisan x dan y terdapat titik yang mewakili prestasi di atas bertentangan dengan koordinat tersebut. Berdasarkan model ini, kebangkitan dianggap sebagai faktor normal manakala kebimbangan kognitif dianggap sebagai faktor pemisah (Hardy, 1996).
Kebimbangan kognitif dianggap sebagai faktor pemisah kerana baik atau buruk, lancar atau tidaknya prestasi seseorang atlit bergantung kepada kebimbangan kognitif. Jika kebangkitan (kebimbangan) kognitif atlit adalah rendah, hubungan di antara kebangkitan dan prestasi sama seperti model U-Terbalik. Bagaimanapun jika kebangkitan fisiologi meningkat biarpun pada kadar yang sedikit akan mengakibatkan peningkatan kebimbangan kognitif. Peningkatan ini mengakibatkan prestasi atlit jatuh dengan teruk secara mendadak (bencana).
Perhatikan bahawa kebimbangan kognitif sebenarnya menentukan penurunan mendadak prestasi atlit. Tambahan pula, penurunan tahap kebangkitan fisiologi walaupun sedikit tidak berupaya untuk meningkatkan kembali tahap prestasi seperti sebelum penurunan.
Jika tahap kebimbangan kognitif masih tinggi (tidak berubah), penurunan tahap kebangkitan fisiologi yang tinggi diperlukan untuk mengembalikan prestasi kepada tahap di atas lipatan penurunan prestasi (x1). Perbezaan titik (x1) dan (x2) sebenarnya dilentukan oleh kebimbangan kognitif. Perubahan pada garis kebangkitan fisiologi yang terputus (lihat rajah) dikenali sebagai titik histeresis (Cox, 1998).
Satu lagi gagasan tambahan dalam model ini adalah apabila tahap kebangkitan fisiologi rendah, peningkatan kebimbangan kognitif akan menyebabkan peningkatan prestasi (ketinggian z adalah ketara di bahagian hadapan model jika dibandingkan di bahagian belakang). Sebaliknya jika kebangkitan fisiologi meningkat, penurunan kebimbangan kognitif akan meningkatkan prestasi atlit (ketinggian z adalah ketara di bahagian belakang jika dibandingkan di bahagian hadapan model). Gagasan ini telah disokong oleh beberapa kajian yang telah dilakukan oleh Edward dan Hardy (1996), Hardy dan Parfitt (1991) dan Hardy Parfitt dan Pates (1994).


2. Berikan panduan seperti yang telah dicadangkan oleh Weinberg dan Gould (1999) untuk mengawal dan mengurangkan rasa kebimbangan kepada jurulatih untuk merancang program latihan.

1.                  Kita mestilah senyum apabila berada dalam keadaan tekanan. Dengan senyuman kita akan melarikan diri daripada situasi memulakan perasaan kebimbangan. Dengan ini, kita dapat melupakan tentang tekanan dan menikmati alam pertandingan.
2.                  Para atlit merupakan orang yang menpunyai tugas yang harus diselesaikan secara berseronok dan bergembira. Kebanyakan peserta berasa ghairah untuk mengatasi tekanan. Berseronok semasa bertanding akan membantu para atlit muda mengelakkan daripada menarik diri untuk bertanding. Cubalah untuk mengamalkan kemenangan dan fokuskan kepada berseronok dan jangan memikirkan mengenai hasil.
3.                  Berlatih dalam keadaan yang dibuat-buat akan membuat atlit semasa menghadapi situasi sebenar. Kita boleh mencipta banyak keadaan semasa latihan. Contohnya, dalam latihan bola keranjang seorang jurulatih boleh menjemput beberapa kenalan untuk melakukan oleh pemain, mereka bolehlah diejek dan menjerit. Dengan ini atlit sedikit sebanyak dapat menyediakan diri untuk belajar menghadapi tekanan.
4.                  Kebanyakan atlit mengadu bahawa apabila mereka mengalami perasaan bimbang dan hilang tumpuan, pergerakan mereka akan menjadi lebih cepat. Untuk mengatasi masalah ini, seorang atlit bolehlah berlatih dengan mengurangkan pergerakan semasa latihan dan ini harus dilakukan berterusan.
5.                  Memikirkan mengenai apa yang akan terjadi selalunya menimbulkan dan menambahkan kebimbangan. Dalam permainan, perasaan sedih akan menambahkan lagi kebimbangan. Jadi fikirkanlah apa yang sepatutnya dilakukan dan bagaimana boleh menguranghkan kebimbangan semasa bertanding.
6.                  Tidak dapat membuat keputusan boleh menyebabkan timbulnya rasa kebimbangan. Membuat keputusan pula boleh memberi tekanan dan semasa menghadapi pertandingan para pemain serta jurulatih perlu membuat keputusan. Jadi, atlit atau jurulatih perlu ada satu perancangan permainan yang lengkap atau strategi agar proses membuat keputusan akan menjadi lebiih mudah.
7.                  Mendengar muzik boleh menjadi tenaga tambahan sebelum kaset dengan alat pendengarnnya di telinga sebelum pertandingan. Berlatih sambil mendengar muzik boleh menghasilkan keghairahan dan perasaan.
8.                  Biasanya pemikiran mempengaruhi pergerakan badan. Contohnya, memperkatakan atau memikirkan mengenai perkataan-perkataan mood seperti kuat, pantas, keras, agresif, gerak dan hebat boleh memberi kesan kepada pergerakan. Contoh lain seperti “Saya boleh lakukan.”

Tuesday 20 March 2012

ISN tumpu sains sukan



SUBANG JAYA – Sedar bahawa atlet bertaraf dunia memerlukan sokongan bertaraf dunia, Institut Sukan Negara (ISN) tidak menoleh ke belakang sebaliknya bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada atlet negara.

Menurut Pengarah Pusat Satelit ISN, Saadon Shukor, kewujudan 11 Pusat Satelit ISN membuktikan bahawa ISN memandang serius tentang kepentingan sains sukan kepada masyarakat setempat terutama pada peringkat akar umbi.

“ISN mahu mendedahkan masyarakat tentang pentingnya perubatan, saintifik dan kecemerlangan teknologi dalam sukan di Malaysia.

“Seperti semua sedia maklum sukan mampu mengubah sesebuah masyarakat,” katanya pada Sidang Antarabangsa Sains Sukan dan Rekreasi (ICSSR) 2011 semalam.

Setakat ini 11 Pusat Satelit ISN telah dibina di Kuching, Pulau Pinang, Larkin, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Melaka, Kelantan, Pahang, Sandakan dan Miri.
“ISN sentiasa mementingkan tentang sukan elit berprestasi tinggi, pendidikan jurulatih, pembangunan atlet, penyertaan sukan beramai-ramai, budaya sukan dan industri sukan berkembang dengan pesatnya di dalam negara ini.

“Selain membuat persediaan untuk Sukan Olimpik 2012 di London, ISN juga sudah mula membuat perangkaan awal menjelang saingan Sukan Asia dan Komanwel 2014, jadi penubuhan Pusat Satelit adalah amat penting dan memudahkan atlet yang berada di seluruh Malaysia,” katanya.

Jelasnya, ISN sentiasa wujud dalam piramid sukan, di mana atlet berada di atas manakala dua di bawah yang sentiasa menjadi sokongan ialah jurulatih dan tidak terkecuali ISN.

“Seperti yang kita semua maklum, budaya adalah amat penting daripada sistem. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah cuba mengubah budaya di kalangan masyarakat setempat untuk menjadikan sukan sebahagian daripada hidup mereka.

“Kejayaan yang dicatatkan oleh pasukan bola sepak kebangsaan pada Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki tahun lalu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada perancangan yang dilakukan oleh ISN dengan menempatkan jurulatih kecergasan dari Slovakia,” katanya.

Tambahnya, ada tiga perkara penting yang akan dilakukan oleh ISN sebelum diberikan kepada jurulatih, penilaian kecergasan, taktik dan analisis perlawanan.

Teknologi dalam sukan.



Teknologi dalam sukan pada zaman sekarang amat penting. Ini kerana teknologi membuatkan sesuatu sukan itu menjadi lebih menarik, lebih teratur, lebih tepat dan lebih selamat. Teknologi diperlukan untuk membuatkan sesuatu sukan itu menjadi lebih popular dalam masyarakat dan menarik minat masyarakat untuk mencuba sukan itu. Terdapat banyak sukan yang memerlukan sokongan teknologi di dalam sukan tersebut seperti sukan lumba basikal dan olahraga dimana pemenang ditentukan menggunakan masa dan gambar di garisan penamat. Ada sesetengah situasi dimana pemenang tidak dapat ditentukan melalui mata kasar. Di sini, teknologi amat memainkan peranan penting di dalam meningkatkan mutu sukan – sukan tersebut. Setiap sukan harus disiarkan di televisyen di mana sukan tersebut dapat diperkenalkan kepada masyakat dan dapat menarik minat masyarakat untuk mencuba. Sebagai contoh, sukan – sukan yang tidak begitu popular di Malaysia seperti sukan kriket, ragbi, sofbol, bola baling dan sebagainya harus disiarkan di kaca televisyen untuk menarik minat lebih ramai orang untuk bergiat di dalam sukan ini. Pihak korporat boleh menaja sukan tersebut dan secara tidak lansung pihak tersebut mendapat keuntungan melalui cara promosi mereka seperti di iklan televisyen, baju ahli sukan tersebut dan lain – lain lagi. Seperti contoh kita dapat lihat syarikat seperti Nike, Adidas, Tag Heuer dan Standard Chartered menaja banyak sukan di dunia tidak hanya bermotif untuk mempopularkan jenama mereka, tetapi mereka jugak mempopularkan sukan tersebut. Penggunaan internet juga penting dimana penggunaan iklan, blog dan laman web sesawang dapat membantu meningkatkan minat terhadap sukan seperti kita tahu pada zaman sekarang ini, kanak – kanak sudah arif dengan penggunaan internet tidak hanya di rumah akan tetapi dimana sahaja. Pada aspek jurulatih pula, dengan adanya alat bantuan seperti bowling machine dalam sukan kriket, sofbol dan besbol dapat membantu jurulatih untuk melatih pemain pada kadar yang ramai. Ini secara tidak lansung tidak membosankan pemain untuk menunggu giliran mereka. Seperti yang kita tahu, sukan adalah medium untuk mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan masyarakat. Kita ambil contoh sukan tenis, teknologi TV review terbukti telah banyak membantu pemain untuk melakukan panggilan bola in/out di mana pengadil boleh mengubah keputusan pengadil jika salah. Selain itu penggunaan teknologi dapat menerapkan sifat adil dan jujur di dalam sukan. Kita ambil contoh di dalam sukan olimpik, para pemain akan diambil sampel darah atau sampel urine untuk ujian dadah. Pemain yang gagal ujian dadah akan dihukum kerana mengambil dadah untuk meningkatkan prestasi. Ia dapat membuka mata masyarakat bahawa sukan sentiasa adil dan menarik. Salah satu cara lain untuk menerapkan sukan di hati masyarakat adalah dengan mengadakan gaya hidup sukan yang terus menerus tidak kira dimana sahaja walaupun di tempat kerja. Akhir kata, teknologi memainkan peranan yang amat penting dalam membantu mempromosikan sukan, menarik minat masyarakat terhadap sukan tersebut, membantu meningkatkan kualiti sukan tersebut dan membuatkan sesuatu sukan itu menjadi lebih menarik.